Tuesday, 27 February 2018

PESAN BUAT PELAJARKU

#Syair
#PESAN #BUAT #PELAJARKU

Ayuhai pelajarku dengarlah pesan,
Sebagai penjawat taatilah atasan,
Keterampilan tuturmu itulah lisan,
Sehebat bahasamu dalam tulisan.

#Agong dan  #agung berbeza makna,
Ejaannya begitu perlulah cakna,
Apabila berbahasa dengan sempurna,
Barulah dinamakan pegawai berguna.

#Di dan #dalam demikian juga,
Kata sendi yang mesti dijaga,
Jika berbahasa bijak bergeliga,
Barulah pangkat boleh dibangga.

#Atas dan #di atas perlulah teliti,
Gunakanlah dengan berhati-hati,
Kalimat  yang betul kita sepakati,
Begitu penting bahasa dihormati.

Dalam ucapan dan pengacaraan,
Teks dan skrip perlu diselaraskan,
Majlis rasmi bahasa ditekankan,
Sebarkan kepada staf dan rakan.

Jika hadiah hendak disampaikan,
Jangan pemenang jadi tertekan,
Bergolek jatuh ketika diumumkan,
#Adalah #ialah dilanggar sakan.

Dalam mesyuarat buat keputusan,
Biar ringkas tetapi berkesan,
Minit bermutu utama keputusan,
Perlu dilaksana tanpa alasan.

Apabila kamu menjadi majikan,
Bahasa yang betul usah abaikan,
Hargai pekerja belanjalah makan,
Aura pangkatmu tetap diraikan.

Bidang multimedia terlampau laju,
Nasihati  pekerja  berfikiran maju,
Capailah wawasan berhala tuju,
Semua berpakat perlu bersetuju.

Kepada pekerja berilah layanan,
Berilah pangkat ikut kekananan,
Setiap dokumen dijaga piawaian,
Audit pematuhan bukan mainan.

Syair ini sekadar perkongsian,
Yang penting buatlah pengisian,
Jangan sampai terjadi ketirisan,
Integriti dijaga dengan ketelusan.

Mohamad Musip
Sanggar Puisi PENAMA
27.10.2016

#1Bahasa1Jiwa1Bangsa
#Mengertibahasamindaselesa

No comments:

Post a Comment