INFORMASI BAHASA CIKGU TAN CL
PERIBAHASA YANG MENGGUNAKAN KATA "IBU" DALAM KAMUS DEWAN EDISI KEEMPAT DAN KAMUS ISTIMEWA PERIBAHASA MELAYU
Peribahasa Melayu amat indah. Selain menggunakan unsur alam semua jadi sebagai ilham penciptaan peribahasa, ibu bapa juga merupakan sumber idea penciptaan peribahasa. Yang berikut ialah senarai peribahasa yang ada perkataan "ibu" sebagaimana yang tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.
1.
seperti anak ayam kehilangan ibunya
maksudnya: berpecah-pecah kerana kehilangan tempat tumpuan (pengharapan)
(sumber: Kamus Dewan)
2.
kasih ibu sepanjang jalan, kasih anak sepanjang penggalan
maksudnya: kasih ibu tidak putus-putus tetapi kasih anak dapat hilang
(sumber: Kamus Dewan)
3.
kasih saudara sama ada, kasih bapa menokok harta yang ada, kasih ibu sama rata, kasih sahabat sama binasa
maksudnya: kasih yang sama berada itulah kasih yang sempurna (sebab biar bagaimanapun kasih seorang itu akan kawannya namun kerana harta akan bercerai juga akhirnya)
(sumber: Kamus Dewan)
4.
kalau ibu kaya, anak jadi puteri, kalau anak kaya, ibu jadi budak
maksudnya: perihal perbezaan antara kesayangan ibu dengan kesayangan anak
(sumber: Kamus Dewan)
5.
bagai makan buah si malakamo, dimakan mati ibu, tak dimakan mati bapak
maksudnya: dalam keadaan serba salah (sama ada dibuat atau tidak, pekerjaan itu tetap akan mendatangkan bencana)
(sumber: Kamus Dewan)
6.
Kecil dikandung ibu, besar dikandung adat, mati dikandung tanah.
maksudnya: Orang hidup hendaklah pandai menyesuaikan diri dengan keadaan di sekelilingnya.
(sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu)
Peribahasa yang dinyatakan di atas sesuai untuk kegunaan murid-murid dalam penulisan. Penggunaan peribahasa bukan sahaja mampu menyulam kata-kata indah pada karangan, malah mempertinggi nilai penulisan. Selamat mencuba.
No comments:
Post a Comment