*Pokok Tuba Banyak Khasiat*
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
KAMPUNG LANDAS - Menyebut mengenai pokok tuba atau nama saintifiknya, Derris Elliptica, kebiasaannya ia sering dikaitkan dengan aktiviti tidak bertanggungjawab segelintir individu yang menggunakan akarnya untuk menuba ikan.
Namun, di sebalik kegunaannya bagi meracun ikan, pokok tuba yang merupakan sejenis tumbuhan renek dari keluarga fabaceae ini turut digunakan sebagai racun serangga dan merawat penyakit pada pokok serta mempunyai khasiat tersendiri bagi perubatan.
Di Stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Jerangau, di sini, pokok tuba yang biasanya tumbuh secara liar di kawasan hutan dan terbiar ditanam bagi tujuan pendidikan serta penyelidikan.
Pengurus Stesen Mardi Jerangau, Muhamad Zaki Mohamed Noor berkata, sebanyak 10 pokok tuba ditanam di stesen Mardi sejak tahun 2005 dan pokok tuba itu dikumpulkan semasa aktiviti pengumpulan sumber genetik di Terengganu serta Kelantan.
“Antara pokok tuba yang ada di sini ialah tuba nerak, tuba akar, tuba merah, tuba putih, tuba susu, dan tuba ubi.
"Selain bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan, penanaman juga boleh digunakan bagi merawat penyakit pada pokok di sini," katanya.
Menurutnya, pokok tuba itu mampu mengawal masalah kutu-kutu, hama dan ulat yang merosakkan tanaman.
"Sementara itu bagi khasiat perubatan, daunnya ditumbuk bagi merawat gatal-gatal serta ubati bengkak bernanah pada kulit dan penyakit kusta.
“Ia turut digunakan bersama dengan getah pokok ipoh sebagai racun sumpitan,” katanya.
No comments:
Post a Comment