Tuesday, 27 February 2018

Oh, begitu ejaannya

Oh, begitu ejaannya

Oleh : MD Abd Razak Kamal

ADUH, sakitnya hatiku! Sampai bilakah isu kesalahan ejaan ini akan berterusan? Sampai bilakah perkara ini boleh dinoktahkan? Bayangkan, ejaan mi pun masih ditulis “mee”. Yang menulisnya bukan warga Vietnam. Yang mencoretnya bukan warga Bangladesh, tetapi warga tempatan.

Masih banyak penutur dan pengguna bahasa Melayu yang mengeja sate sebagai “satay”. Ada juga yang mengejanya sebagai “satey”. Sedapnya kita makan sate, tetapi yang tidak sedap ialah ejaannya.

Banyak sungguh kesalahan ejaan. Penulis hanya membicarakan kesalahan ejaan untuk makanan, belum lagi ejaan yang lain. Sedarkah kita bahawa ejaan “murtabak” itu sebenarnya salah? Benar, kita hanya tahu memakannya sahaja. Siapakah yang endah tentang ejaannya? Mulai sekarang, marilah kita menulis “murtabak” sebagai martabak.

Amat sukar kita menemukan ejaan yang betul bagi kuetiau. Yang banyak kita temukan ialah “koay teow”, “koey teow”, “koetiaw”, dan sebagainya. Entah-entah, jika kita melihat ejaan kuetiau yang betul, kita sendiri tidak tahu bahawa makanan itu ialah kuetiau. Mungkin juga ada orang yang terfikir bahawa kuetiau itu makanan baharu.

Tose pula ialah makanan popular India yang dibuat daripada beras dan dimakan bersama kuah dal dan sebagainya. Jangan pula kita mengejanya sebagai “tosai” atau “tosei”. Begitu juga dengan muruku, bukannya “maruku”, iaitu sejenis makanan ringan yang diperbuat daripada tepung beras, tepung kacang dan dicampurkan dengan rempah. Sedapnya muruku, bukan “maruku”, nanti kena luku!

Terdapat juga beberapa jenis makanan yang asalnya bukan makanan tempatan, tetapi ejaan makanan berkenaan dikekalkan seperti burger, iaitu kepingan daging kisar yang digoreng atau dipanggang, dan biasanya dimakan dengan roti. Begitu juga makanan seperti hot dog yang dikekalkan ejaannya. Jangan pula kita memandai-mandai untuk menukarnya kepada “anjing panas”.

Satu lagi makanan yang dibawa dari Timur Tengah, iaitu kebab. bukannya “kebap”. Lazimnya, perkataan yang berakhir dengan huruf “b” dipinjam daripada bahasa Arab. Contoh lain ialah perkataan wajib dan jawab. Cuma, orang Melayu kebanyakannya akan menyebut perkataan tersebut dengan sebutan “wajip” dan “jawap”.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila diimbuhkan, maka jadilah kewajipan dan jawapan. Yang sepatutnya dan sebetulnya sudah tentulah perkataan “wajib” menjadi kewajiban, dan perkataan “jawab” menjadi jawaban.

Oleh hal yang demikian, berdasarkan rumus yang betul, maka Kamus Dewan Edisi Keempat telah memasukkan entri “kewajipan” dan “jawapan”. Cuma, masyarakat pengguna masih boleh terus menggunakan kewajipan dan jawapan kerana perkataan-perkataan tersebut dianggap telah mantap penggunaannya dalam masyarakat.

Tidak lama lagi umat Islam akan menyambut bulan puasa. Kelak akan terpampanglah kain-kain rentang tentang pelbagai promosi, sama ada barangan mahupun perkhidmatan.

Demikian juga dengan lambakan brosur yang akan diedarkan kepada orang awam dan poster yang akan ditampal di merata-rata tempat, sama ada sebagai peringatan ataupun promosi. Namun, adakah kita tahu bahawa ejaan “Ramadhan” yang digunakan pada sesetengah kain rentang, brosur dan poster sebenarnya salah?

Untuk pengetahuan pembaca, ejaan yang betul ialah Ramadan, bukannya "Ramadhan". Mungkin pengaruh bahasa Arab terlalu kuat hinggakan huruf “h” tidak digugurkan. Sebagai pengguna bahasa Melayu, marilah kita betulkan ejaan tersebut. Jangan dibiarkan ejaan yang salah itu berleluasa.

Selepas Ramadan, umat Islam akan menyambut hari raya. Sekali lagi, pelbagai promosi diperhebat, malah lebih hebat daripada bulan Ramadan. Pengeluar sesuatu barangan dan perkhidmatan menawarkan pelbagai tawaran yang menarik. Kekeliruan bahasa berlaku lagi.

Kali ini untuk ejaan Aidilfitri. Masih banyak pengguna bahasa yang mengeja perkataan Aidilfitri dalam bentuk terpisah, iaitu “Aidil Fitri”. Hakikatnya, ejaan yang betul ialah Aidilfitri. Begitu jugalah dengan ejaan Aidiladha. Janganlah kita pisahkan antara Aidil dengan Adha.

Ayuh pengguna bahasa sekalian, jangan kita terus-menerus membiarkan kesilapan ini. Marilah kita mula membetulkan kesilapan tersebut. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul

No comments:

Post a Comment