Perkataan manakala’
Perkataan manakala’ ialah kata hubung, bukan penanda wacana.
Sebagai kata hubung, perkataan manakala’ mempunyai makna tertentu dan digunakan dalam ayat yang tertentu seperti yang berikut:
(a)bermaksud pada waktu atau pada ketika atau apabila.
Ayat contoh: Mereka akan berpelukan dan melagakan pipi manakala bertemu.
(b) bermaksud tetapi’.
Ayat contoh: Watak utama novel Tirani’ ialah Waheeda, manakala watak utama novel Leftenan Adnan Wira Bangsa’ ialah Adnan.
(c) bermaksud sedangkan’.
Ayat contoh: Banyak orang yang telah dipindahkan, manakala beratus-ratus rumah telah dihanyutkan dalam kejadian banjir terbesar di negara kita itu.
Masalah yang sering timbul dalam kalangan pengguna bahasa di negara kita ialah mereka sering menggunakan perkataan menakala’ sebagai penanda wacana atau kata di pangkal ayat seperti ayat contoh yang berikut:
1.Manakala, pihak kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah.
2.Manakala langkah-langkah untuk menanganinya ialah ibu bapa perlu memberikan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak sejak kecil.
Sebagai kesimpulannya, pengguna bahasa Melayu hendaklah berhati-hati semasa menggunakan perkataan manakala’ dalam ayat. Mereka mestilah mengetahui bahawa perkataan manakala’ ialah kata hubung, dan bukannya penanda wacana atau perkataan di pangkal ayat.
Cikgu Ghalib Yunus
No comments:
Post a Comment