Tuesday, 27 February 2018

Kesalahan penggunaan perkataan 'dalam' dalam bahasa Melayu

Kesalahan penggunaan perkataan 'dalam' dalam bahasa Melayu

 Ayat yang berikut sering kita baca dalam pelbagai dokumen yang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu di negara kita.

1. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
2. Dalam melaksanakan program ini, beberapa masalah yang timbul telah dapat diatasi dengan jayanya.
3. Kami telah berusaha dengan pelbagai cara dalam menangani masalah ini.

Dalam bahasa Melayu, perkataan dalam berfungsi sebagai :

(i) kata adjektif. Contoh:
Perigi itu sangat dalam.
(ii) kata arah. Contoh:
Mereka berbincang di dalam bilik itu.
(iii) kata sendi nama. Contoh:
Saya tidak terlibat dalam mesyuarat itu.

Kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna bahasa ialah mereka menggunakan perkataan 'dalam' sebagai kata hubung seperti  ayat (1) hingga (3) di atas. Perkataan 'dalam' dalam ayat tersebut sepatutnya digantikan dengan kata hubung 'kerana', 'semasa', dan 'untuk' seperti yang berikut:

1(a) Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana menjayakan program ini.
2(a) Semasa melaksanakan program ini, beberapa masalah yang timbul telah dapat diatasi dengan jayanya.
3(a)Kami telah berusaha dengan pelbagai cara untuk menangani masalah ini.

Sebagai kesimpulannya, kita mestilah menggunakan bahasa Melayu dengan betul jika kita ingin memartabatkan bahasa Melayu di negara sendiri.

No comments:

Post a Comment