Nota Bahasa Melayu,
Kisah Imbuhan meN-
Oleh : MD Salleh Hj. Mohd Hassan
TERDAPAT empat jenis imbuhan dalam bahasa Melayu iaitu imbuhan awalan, akhiran, apitan, dan sisipan. Imbuhan awalan hadir sebelum kata dasar, manakala imbuhan akhiran hadir sesudah kata dasar. Imbuhan apitan pula hadir secara serentak di depan dan di belakang untuk mengapit kata dasar, manakala imbuhan sisipan hadir di celah kata dasar.
Fokus tulisan ini adalah pada imbuhan awalan meN-. Awalan meN- mempunyai empat bentuk varian, iaitu me-, men-, mem-, dan menge-.
Kata kerja yang terbentuk daripada awalan meN- mendukung maksud sama ada melakukan sesuatu ataupun menyatakan keadaan. Perkataan menunggu bermaksud melakukan sesuatu, manakala perkataan menguning bermaksud menyatakan sesuatu keadaan. Lihat ayat contoh.
1. Ali menunggu bas.
2. Padi menguning.
Ayat 1 bermaksud Ali sedang melakukan sesuatu, iaitu tunggu bas. Ayat 2 bermaksud, keadaan padi yang semakin kuning. Tiada apa-apa yang pelik bagi kedua-dua ayat ini. Walau bagaimanapun, terdapat ayat yang menampakkan konotasi yang ganjil jika diteliti secara mendalam.
Pada suatu masa dahulu, frasa pusat membeli-belah dikatakan betul dan digunakan oleh pengguna bahasa secara leluasa. Kini, frasa pusat membeli-belah dikatakan salah kerana imbuhan meN- yang bervarian mem- itu membawa maksud pusat itu sedang membeli-belah. Dalam kajian karya sastera, frasa pusat membeli-belah dinamakan personifikasi atau pengorangan, iaitu menjadikan watak bukan manusia berkelakuan seperti manusia. Dalam konteks ayat ini, seolah-olah pusat (bukan manusia) sedang membeli-belah (amalan manusia).
Mari kita teliti ayat ini pula:
3. Tempat menunggu bas.
4. Ali menunggu bas.
5. Faedah membaca buku.
6. Faezah membaca buku.
7. Kolam memancing udang galah.
8. Abu memancing udang galah.
9. Nor mempunyai kemahiran
membaca, menulis, dan lisan.
Berdasarkan huraian pada para di atas, Ayat 3 membawa maksud tempat sedang menunggu bas. Tempat seolah-olah mengambil alih peranan manusia, iaitu menunggu.
Cuba bandingkan ayat ini dengan Ayat 4. Dalam ayat 4, subjek, iaitu Ali adalah tepat kerana Ali ialah manusia yang melakukan aktiviti tunggu bas. Pada hemat penulis, tempat menunggu bas sepatutnya digantikan dengan tempat tunggu bas, manakala ayat Ali menunggu bas adalah betul. Yang membezakan betul salahnya kedua-dua ayat ini bergantung pada subjek ayat tersebut. Jika subjek ayat tersebut terdiri daripada manusia atau haiwan, maka imbuhan meN- perlu diimbuhkan pada kata kerja yang terdapat di situ. Sebaliknya, jika subjek ayat tersebut terdiri daripada bukan manusia atau haiwan, maka kata kerja yang terdapat di situ tidak perlu diletakkan imbuhan meN-.
Bagi Ayat 5 dan Ayat 6, huraian adalah sama dengan Ayat 3 dan Ayat 4. Ayat yang tepat ialah faedah baca buku bagi Ayat 5 dan faedah membaca buku bagi Ayat 6.
Bagi membicarakan Ayat 7 dan Ayat 8, mari kita tanyakan soalan. Bagaimanakah cara kolam memancing udang galah?. Pasti soalan ini tiada jawapan. Kita tanya pula soalan bagi Ayat 8. Bagaimanakah cara Abu memancing udang galah? Jawapan bagi soalan ini amat mudah. Abu memancing udang galah dengan meletakkan umpan pada mata kail dan membaling ke kolam. Pada pandangan penulis, ayat yang betul ialah Abu memancing udang galah, dan Ayat 7 sepatutnya kolam pancing udang galah.
Sekarang, mari kita kaji Ayat 9 pula. Apabila kita berbicara tentang kemahiran, tiga kemahiran asas ini akan dirujuk iaitu kemahiran membaca, menulis dan lisan. Kejanggalan ayat ini terdapat pada perkataan membaca, menulis dan lisan. Kata dasar baca, apabila diimbuhkan dengan mem-, maka jadilah membaca. Kata dasar tulis, apabila diimbuhkan me-, maka jadilah menulis. Perkataan lisan pula tiada imbuhan. Perkara ini boleh dikatakan sebagai ketidakseimbangan dalam tatabahasa Bahasa Melayu. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, lisan bermaksud sesuatu yang diucapkan. Hanya terdapat dua kata terbitan daripada kata dasar lisan iaitu melisankan dan kelisanan. Tiada perkataan melisan dalam dimasukkan dalam kamus tersebut. Bagi menyeimbangkan keadaan ini, penulis mencadangkan supaya Ayat 9, iaitu Nor mempunyai kemahiran membaca, menulis, dan lisan perlu ditukarkan menjadi Nor mempunyai kemahiran baca, tulis, dan lisan.
Cuba lihat perkataan baca, tulis, dan lisan. Pada pendapat penulis, ketiga-tiga perkataan yang ditulis itu kelihatan adil kerana tiada imbuhan yang diimbuhkan di situ. Ayat kemahiran membaca akan menjadi personofikasi. Ayat yang betul ialah mahir membaca. Mahir ialah nama orang sedangkan kemahiran ialah kata nama am.
Coretan ini hanyalah pandangan peribadi penulis atas niat ingin memeriahkan bahasa dan menghilangkan kejumudan dalam berbahasa.
No comments:
Post a Comment