Marilah kita mempelajari bahasa Melayu. Jika kita menggunakan bahasa Melayu dengan betul, secara tidak langsung, kita telah mengangkat martabat bahasa Melayu. Selain perkataan `bajet' yang sepatutnya perkataan `belanjawan', banyak pengguna bahasa yang menggunakan perkataan `sempena' tidak tepat dalam ayat. Sila baca makalah yang berikut:
Perkataan `sempena’ dalam bahasa Melayu
Perkataan `sempena’ bermaksud berkat atau tuah. Jika kita menggunakan perkataan `sempena’ dalam konteks ayat yang berikut, maka ayat tersebut tidak gramatis.
(1) Program tersebut diadakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara.
Marilah kita menggantikan perkataan `sempena’ dengan perkataan `berkat’ atau `tuah’.
1(a) Program tersebut diadakan berkat sambutan Hari Kemerdekaan Negara.
1(b) Program tersebut diadakan tuah sambutan Hari Kemerdekaan Negara.
Dalam hal ini, ayat (1) sepatutnya menggunakan perkataan `bersempena’. Apabila perkataan `sempena’ menerima awalan `ber-’, perkataan ini membentuk perkataan `bersempena’, iaitu kata kerja transitif yang memerlukan kata sendi nama `dengan’ atau `daripada’. Dalam konteks ini, lazimnya kata sendi nama `dengan’ digunakan untuk mengikuti perkataan `bersempena’.
1(b) Program tersebut diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara.
Persoalannya ialah mengapakah kita perlu menggunakan frasa kerja `bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara’?
Jika kita tidak menggunakan frasa tersebut, apakah binaan `sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara?
Adakah binaan `sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara’ frasa sendi nama? Jawapannya sudah tentu tidak kerana perkataan `sempena’ bukan kata sendi nama.
Jika kita meneliti ayat 1(b), ayat tersebut berasal daripada ayat yang berikut:
1(c) Pihak sekolah mengadakan program tersebut kerana bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara.
Ayat 1(c) merupakan ayat majmuk kerana mempunyai dua klausa. Klausa utama ayat tersebut ialah:
(i) pihak sekolah mengadakan program tersebut
(ii) program tersebut bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara
Apabila kedua-dua klausa tersebut digabungkan, ayat 1(c) terbentuk. Ayat 1(c) tersebut dapat dipasifkan untuk membentuk ayat yang berikut:
1(d) Program tersebut diadakan oleh pihak sekolah kerana bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara.
Apabila berlakunya pengguguran `oleh + FN’, ayat yang berikut terbentuk:
1(e) Program tersebut diadakan kerana bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara.
Dari segi makna, perkataan `bersempena’ bermaksud `mengambil sempena’. Oleh hal yang demikian, ayat 1(e) di atas boleh juga ditulis seperti yang berikut:
1(f) Program tersebut diadakan kerana mengambil sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara.
Dalam bahasa Melayu, beberapa pengguguran dibenarkan dalam ayat mengikut Tatabahasa Transformasi Generatif. Oleh hal yang demikian, ayat yang beriktu gramatis.
1(g) Program tersebut diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara.
1(h) Program tersebut diadakan mengambil sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara.
Saya memetik ayat dalam teks di atas seperti berikut:
ReplyDelete"Dalam hal ini, ayat (1) sepatutnya menggunakan perkataan `bersempena’. Apabila perkataan `sempena’ menerima awalan `ber-’, perkataan ini membentuk perkataan `bersempena’, iaitu kata kerja transitif yang memerlukan kata sendi nama `dengan’ atau `daripada’. Dalam konteks ini, lazimnya kata sendi nama `dengan’ digunakan untuk mengikuti perkataan `bersempena’.
Disebutkan kata kerja transitif memerlukan kata sendi nama??? Dalam Tatabahasa Dewan, dinyatakan kata kerja transitif memerlukan hanya kata nama sebagai objek.